BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 15, 2009

Cerita untuk sahabat

September 1998. Ketika itu saya baru berusia 10 tahun, seorang kanak-kanak riang, budak hingusan. Saya masih ingat lagi, ketika itu Malaysia menjadi tuan rumah kepada kejohanan bertaraf dunia -- Sukan Komanwel. Tetapi, perbualan golongan tua di sekitar saya langsung tidak berkaitan dengan apa yang saya tahu. Saya tidak faham.

Mungkin terlalu muda untuk faham.

Sewaktu mendengar berita di televisyen, saya tertarik dengan keadaan di sebalik kemeriahan Sukan Komanwel yang sedang berlangsung. Keadaan di Kuala Lumpur kelam-kabut ketika itu. Saya bertanya kepada ayah tentang apa yang terjadi. Jawapan ayah mudah, REFORMASI!

Kosa kata saya bertambah.

Kelihatan ramai orang bertempiaran lari dikejar oleh sekumpulan lelaki berpakaian seragam biru tua dan bertopi keledar berwarna merah. Kekacauan yang sangat teruk berlaku ketika itu. Saya berasa takut. Saya cuba mengeluarkan kosa kata baru itu dan memberi tafsiran maksudnya sebagai kekacauan yang sedang saya tonton sekarang.

Kelihatan seorang pemuda berkemeja putih terjatuh sewaktu melarikan diri daripada kumpulan berpakaian seragam itu. Tiba-tiba, salah seorang daripada anggota berbaju biru itu datang lalu menyepak kepala pemuda itu dengan but yang dipakainya.

Saya bertambah takut dan ngeri.

Baru-baru ini, seorang sahabat telah memberikan pandangannya tentang isu Himpunan Mansuh ISA yang saya nukilkan. Saya tidak mampu memberikan hujah yang panjang lebar kepada beliau tetapi sahabat, apa yang terjadi di atas membuatkan saya berpendapat sedemikian -- kejadian 11 tahun dahulu.

Sahabat, sebenarnya aku takut dengan kekacauan yang tercetus akibat demonstrasi. Perjuangan, kini aku tafsirkan sebagai sesuatu yang subjektif. Cuma pada zaman ini, aku tidak berasa demonstrasi sebagai suatu perjuangan. Pilihan raya, mungkin itulah perjuangan yang sesuai sekarang. Pengambil alihan kuasa secara demokrasi dan telus adalah perjuangan yang sebenar kini.

Sahabat, kita bukannya dalam zaman memerangi Dajjal dengan pimpinan Isa al-Masih dan Imam Mahadi. Mengangkat senjata menghapuskan bala tentera Dajjal yang membuat kekacauan di muka bumi ketika itu perjuangan yang bersesuaian dengan masa dan keadaannya. Akan datang itu pasti, tetapi bukan kini.

Kekacauan akibat demonstrasi, kelukaan fizikal dan mental dan emosi akibat demonstrasi, itu bukan perjuangan.

Wahai sahabat, sekurang-kurangnya inilah pandanganku yang tidak hebat seperti kamu yang aku hormati. Tetapi sahabat, pandanganku itu bersebab. Telahku nyatakan sebabnya.

Minta maaf sahabat sekiranya aku tidak sependapat denganmu dalam isu ini. Walau bagaimanapun, aku tetap menghormatimu seperti dulu, kini dan selamanya. Insya-Allah...

0 thought(s):