BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label Keluarga / Family. Show all posts
Showing posts with label Keluarga / Family. Show all posts

Tuesday, July 14, 2009

Aku mengharapkan keredhaan-Nya...

Aku tahu aku akan kebosanan sekiranya tidak melakukan apa-apa kerja atau aktiviti sepanjang semester ini. Masakan tidak, kursus 3 jam kredit sahaja selama satu semester? Aku pasti akan bosan.

Aku fikir aku ingin membuat kerja secara sambilan.

Aku menyatakan hajatku kepada emak. Aku menunggu waktu yang bersesuaian dan waktu itu adalah ketika kami menunggu bas ke Kuala Terengganu yang akan aku naiki.

"Emak, sem ni kan Aki amik satu paper je. Mesti banyak masa free. Boleh tak Aki keje? Boleh dapat duit belanja kat sana, tak susahkan emak."

"Tak payah! Aku mampu tanggung kau. Kau belajar je. Tak payah fikir nak cari duit pulak."

Aku memahami kehendak emak. Tetapi, aku bukannya jenis anak yang sanggup melihat emak sendiri bersusah payah ke sana sini untuk aku tanpa aku dapat membuat apa-apa. Aku tidak peduli apa pendapat orang terhadap kenyataan ini tapi aku memang tidak sanggup.

Lebih kurang pukul 9.10 pagi tadi, aku dan Nash ke Fakulti Sains dan Teknologi UMT untuk bertemu dengan Dr. Sabri bin Ahmad, pensyarah Statistik universiti itu.

Kenapa kami berjumpa dengan beliau?

Insya-Allah, jika tiada aral yang melintang aku akan mula bekerja sebagai Research Assistant (RA) kepada Dr. Sabri bermula hari Ahad ini.

Aku bukan ingin menderhakai emak tetapi aku hanya ingin cuba membantu kerana tidak sanggup melihatnya bersusah payah demi aku. Aku mengharapkan keredhaan-Nya supaya dipermudahkan segala urusanku dalam pelajaran dan juga sebagai RA Dr. Sabri kelak.

Demi kasih sayangku kepada emak, aku terpaksa berdiam.

Sunday, May 17, 2009

Dalam Hati Emak

Aku faham abang-abang dan kakak-kakakku runsing dengan perlakuan emak. Emak merajuk kerana anak-anaknya yang tua merahsiakan sesuatu hal yang agak kritikal daripada pengetahuannya. Bukan! Lambat diberitakan kepadanya.

Buat pertama kalinya, aku bersuara tentang emak.

"Emak tak merajuk pun sebenarnya... Emak sunyi tu.."

Kenapa aku berpendapat sebegitu? Inilah jawapanku kepada mereka:

"Korang kena faham... Dulu time ayah ade bolehlah emak membebel dengan ayah. Sekarang bila ayah dah takde, die nak bebel dengan sape lagi..? Sebab tu la dia cari poin je dengan kite adik-beradik... Emak nak anak-anak die bagi perhatian je... Hilangkan kesunyian die tu..."

"Tapikan, aku tahu ayah happy bile emak membebel kat dia... Emak care tentang ayah la maksudnye... Ayah dok counter balik tu bukan nak jadi defensive, tapi ayah happy... Kalau aku jadi ayah pun aku happy..."

Kesimpulannya?

"Korang tadah telinga je... Asalkan kita dapat buat emak happy sudeyh..."

Wednesday, April 1, 2009

Sebatang pen PARKER

Sewaktu saya kecil, saya sering melihat ayah menulis dan melakukan kerja-kerjanya sebagai Penasihat Sektor Bahasa Inggeris di Jabatan Pendidikan Melaka menggunakan sebatang roller ball pen berjenama PARKER. Ayah sangat menyukai pen tersebut. Pelbagai dokumen yang ayah tulis dan tandatangani menggunakan pen itu. Ayah ternyata sangat bergaya apabila menggunakannya. Saya bercita-cita untuk menggunakan pen yang serupa apabila saya sudah dewasa kelak.

Waktu berlalu dengan pantas. Sedar atau tidak saya akan mencecah umur 20 tahun hadapan. Saya sangat sibuk membesar hinggakan baru sekarang saya menyedarinya. Ketika ini jugalah saya teringat salah satu impian saya sewaktu bergelar budak hingusan dahulu.

Baru-baru ini kita semua telah pulang ke kampung sempena cuti pertengahan semester dan Tahun Baru Cina. Saya membeli tiket sehari sebelum pulang kerana program yang sepatutnya saya hadiri pada awal cuti ini dibatalkan pada minit-minit terakhir. Alhamdulillah, saya bernasib baik kerana berjaya mendapatkan tiket pulang akhirnya.

Sepanjang perjalanan pulang saya asyik teringatkan keluarga saya terutamanya ayah, sekarang pesara. Baru-baru ini ayah dimasukkan ke dalam wad setelah mengadu sesak nafas. Ayah saya bekas penghidap penyakit jantung dan masih menjalani pemeriksaan bulanan. 3 bulan sekali ayah dan emak akan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan ubat-ubatan dan pemeriksaan rapi. Saya sangat risaukan ayah.

Saya membawa pulang sepasang kasut kulit yang masih elok dan utuh, dibeli di bundle Batu Burok untuk ayah seperti yang saya janjikan. Ayah telah memberikan sepasang kasut kulit yang dibeli sewaktu jualan lelong JPJ kepada saya. Kasut itu hanya dipakai ayah sewaktu Aidilfitri tahun lepas. Ayah berhajat untuk memiliki sepasang kasut yang serupa dengan kasut kesayangannya. Kasut kulit berwarna perang berharga £10 yang ayah beli di sebuah kedai bundle di kota London sewaktu ayah melanjutkan pengajiannya di sana 14 tahun yang lepas. Saya ingin melunaskan permintaan ayah dengan membeli kasut yang serupa pada harga RM10 yang saya jumpai di bundle Batu Burok itu.

Sebaik tiba di stesen bas, saya menghubungi emak. Emak tiba dengan memandu kereta Wajanya, mengambil saya dalam keadaan baru bangun tidur. Saya bersalam dan mencium tangan emak. Saya memasukkan barangan saya lalu meminta izin emak untuk menggantinya memandu. Emak melarang. “Kau penat. Biar emak yang bawa.” Saya mendiamkan diri – sebak.

Azan subuh berkumandang sebaik sahaja saya memasuki bilik saya. Saya memakai tuala dan berwudhuk. Setelah selesai saya dapati ayah sedang bersiap untuk bersolat. Saya salam dan cium tangan ayah yang kasar, seperti yang saya lakukan kepada emak. Tangan yang bekerja untuk memberi sesuap nasi kepada saya dan adik-beradik saya hingga kini. Kami solat Subuh bersama. Selesai solat saya menunjukkan ayah kasut yang ayah idamkan. Ayah sangat menyukainya.

“Er, muncung kasut ni sendat sedilkit. Tetapi tak apalah. Lama-lama nanti besarlah. Terima kasih,” ucap ayah. Saya sangat berpuas hati. Ucapan terima kasih ayah adalah anugerah adalah rahmat yang tidak ternilai bagi saya.

Akibat kepenatan, saya igin menyambung tidur. Sewaktu saya ingin memasuki bilik saya terlihat 2 batang roller ball pen berjenama PARKER yang baru dan belum dibuka bungkusannya di atas meja di ruang tamu utama. Saya bertanya kepada ayah, “Siapa punya pen PARKER tu, ayah?”. Ayah menjawab, “Tiada siapa.” Saya hanya mengangguk. Saya menghempaskan badan ke katil yang dirindui, lena hingga ke tengah hari.

Selepas bagun tidur, saya pergi mandi sunat Jumaat. Ketika saya sedang bersiap saya terlihat sebatang pen PARKER di atas meja solek. Saya mengambil pen tersebut kepada ayah.

“Ayah, Aki jumpa pen ayah kat atas meja solek.” Aki adalah nama timangan saya di rumah.

“Pen tu untuk kau,” ayah menjawab.

Saya terkejut. Saya sangat teruja. Saya berterima kasih kepada ayah. Akhirnya, salah satu impian zaman kanak-kanak saya menjadi kenyataan. Memiliki roller ball pen PARKER seperti yang diguna ayah. Saya sangat bangga!

Saya berjanji akan menjaga dan mengguna pen ini sebaiknya. Saya berharap dengan berkat pemberian pen pemberian ayah saya akan mancapai kejayaan yang cemerlang dalam setiap kebaikan yang saya lakukan, terutamanya pelajaran saya.

"Ya Allah! Ampunilah segala dosa emak dan ayahku, Kau berikanlah kesihatan yang baik dan kepanjangan umur kepada mereka, Kau limpahkan rezeki yang banyak kepada mereka sebagai balasan atas pengorbanan mereka dalam membesarkanku. Kau permudahkanlah segala kesulitan yang mereka alami dan Kau jadikan aku anak yang baik dan berbudi kepada mereka, ya Allah. Amin."

09 /02 /07, 1: 34 pm