Alor Gajah merupakan sebuah perbandaran dan daerah di Melaka dan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG). Dengan keluasan 699.3 km/segi, terdapat 31 mukim di dalamnya.
Bersempena sambutan ulang tahun ke-6 perbandaran, Alor Gajah dihias dengan begitu indah sekali gus mengubah suasana malamnya.
Kita mulakan dengan Bulatan Alor Gajah, pusat perbandaran. Bulatan ini dahulunya memiliki papan tanda yang menunjukkan arah dan jarak beberapa bandar utama di seluruh dunia! Tetapi tidak sekarang. Sekiranya tiba hari raya, pelbagai replika yang berkaitan dengan perayaan diletakkan seperti kawah dodol, lemang dan sebagainya.
Bangunan zaman kolonial berhadapan dengan Dataran Keris telah dihias dengan gandingan lampu berwarna yang sangat menarik. Bangunan tersebut yang telah dicat semula dengan warna lazim kuning dan jingga kini kelihatan lebih memukau.
Dataran Keris, landmark utama di Alor Gajah. Kawasan ini dahulunya suram tanpa apa-apa kini memiliki landskap yang selesa. Rimbunan pokok di sekitar kawasan dataran menimbulkan suasana nyaman. Ditambah pula kemudahan taman permainan untuk kanak-kanak menyebabkan kawasan ini menjadi pilihan keluarga untuk keluar berjalan terutama ketika hari minggu.
Muzium Adat Istiadat merupakan salah satu tarikan pelancong yang terletak di dalam kawasan Dataran Keris. Bagi sesiapa yang ingin mencari asal usul kebangsaannya, dipersilakan datang ke muzium ini.
Akhir sekali, laluan pejalan kaki Pasar Menggong. Dahulunya kawasan ini merupakan longkang besar yang bisa membahayakan sesiapa sahaja yang terjatuh ke dalamnya. Kini, selepas laluan ini dibuat dan dihias indah, tiada lagi pemandangan yang mencacatkan. Tiada lagi bau busuk longkang. Cuma laluan yang memudahkan.
Melawat Melaka bererti melawat Malaysia.
1 year ago
0 thought(s):
Post a Comment