BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, May 26, 2010

Pelajar sekolah kini...

Saya tertarik dengan isu utama yang dipaparkan dalam akhbar harian Bahasa Inggeris The Star hari ini (26 Mei 2010) berkenaan sebuah sekolah yang bermasalah di Rawang, Selangor. Isu yang dibangkitkan adalah aktiviti kongsi gelap, mengedar dadah dan jenayah seksual.

Menurut akhbar yang sama semalam (25 Mei 2010), seorang gadis berumur 14 tahun mendakwa telah dirogol oleh rakan sekelasnya selama 3 minggu pada bulan lepas. Menurut laporan terkini sekumpulan anggota polis telah menemui pihak berkuasa sekolah dan menyiasat kawasan tersebut. Dikatakan, cabul dilihat sebagai perkara biasa di sekolah itu.

Secara jujurnya saya tidak berasa pelik tentang apa yang berlaku tetapi sebagai seseorang yang pernah terlibat secara langsung dalam dunia pendidikan, saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang langsung tidak boleh diterima dan perlu ditangani segera.

Menurut Marlisa Azura dalam kertas kajiannya yang bertajuk "Masalah Sosial di Kalangan Pelajar", terdapat beberapa faktor yang menyebabkan masalah sosial di kalangan pelajar kini semakin meruncing. Antaranya ialah :
  • peranan ibu bapa;
  • masalah keluarga;
  • pengaruh sekolah;
  • rakan sebaya;
  • masyarakat; dan
  • diri sendiri (rasa ingin tahu)
Untuk kupasan lebih lanjut, sila klik pada link di atas.

Pernah suatu ketika, seorang rakan perempuan saya yang sedang menuntut di sebuah institusi pengajian awam di Terengganu menceritakan pengalamannya berhadapan dengan seorang pelajar sekolah menengah yang saya sifatkan nafsunya sebagai 'buas dan berbahaya'.

Beliau yang duduk di sebuah rumah sewa berhampiran telah berkenalan dengan pelajar tersebut yang juga merupakan penduduk di situ. Hubungan seperti kakak dan adik itu akhirnya putus kerana pelajar tersebut mendesak rakan saya untuk melakukan hubungan seks dengannya. Kini kediaman rakan saya itu diganggu oleh pelajar tersebut bersama rakan-rakannya yang lain sebagai tindakan balas dendam kerana tuntutan nafsu serakahnya tidak dipenuhi.

Saya baru sahaja menamatkan zaman persekolahan 5 tahun lepas. Dalam tempoh yang singkat ini, saya melihat perubahan sikap pelajar adalah sangat ketara sekali. Saya sangat kecewa dengan perkembangan negatif seperti ini.

Berdasarkan pengalaman saya sewaktu menjalani praktikum pengajaran di sebuah sekolah luar bandar di Kuala Terengganu, saya berpendapat sistem pendidikan kita perlu penstrukturan semula secara menyeluruh. Penekanan kepada aspek pembentukan jati diri pelajar perlu diambil kira dengan serius kerana pelajar kini bijak otaknya tetapi gelap di hati.

Saya bukanlah seseorang yang pakar dalam bidang pendidikan ini tetapi saya yakin bahawa kita perlu merujuk sistem pendidikan negara maju secara mendalam dan cuba mengaplikasikan sistem yang baru mengikut acuan negara bangsa kita.

Oh, saya sedang bersedih sekarang. Hal ini tidak patut berlaku. Seandainya sistem di negara kita ini tidak dirombak sekarang, percayalah suatu hari nanti darurat akan berlaku sekali lagi.

0 thought(s):