BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, May 24, 2010

Roket, UTM, Lagenda...

Pagi Sabtu baru-baru ini ketika aku sedang memikirkan apa yang ingin dilakukan, tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Panggilan daripada bekas guru Fizik aku, Cikgu Noor Hayati. Aku segera menjawab panggilannya.


Cikgu Noor Hayati binti Hussin


Rupanya, beliau memintaku hadir di Pertandingan Mencipta Roket Botol di Balai Cerap Al-Khawarizmi, berdekatan pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah. Beliau memintaku berkongsi pengalaman dan nasihat kepada pelajar-pelajarnya kini (Tingkatan 4) tentang roket botol -- sesuatu yang telah menyebabkan aku melanjutkan pelajaran dalam bidang aeronautik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) suatu ketika dahulu, serta menjadikan aku serta beberapa rakanku mencipta lagenda yang pastinya menjadi kebanggaan peribadi kami sepanjang hayat kami.


Suasana pertandingan di Balai Cerap Al-Khawarizmi


Pertengahan tahun 2004...

* * * * * * * * * * * * *

Kami tiba juga di MRSM Jasin akhirnya. Kelihatan ramai orang yang hadir. Bukan sahaja pesaing-pesaing kami malah orang luar yang berminat untuk melihat pertandingan yang julung kali diadakan ini. Guru yang membimbing kami adalah Cikgu Noor Hayati dan Cikgu Azuasma.

Aku, Yazid, Shahir, Taufiq, Khairi dan Rizman berasa sangat teruja untuk mempersembahkan 'hasil kejuruteraan' kami. Kami telah berhempas-pulas membuat kajian, perkiraan fizik dan matematik, serta ujian dalam keadaan serba kekurangan sehingga terciptanya roket kami.

Satu untuk kategori Trajectory (jarak paling jauh) manakala sebuah lagi untuk kategori Parachute (payung terjun, paling lama di udara).

Kami agak bernasib baik kerana giliran kami adalah ditengah. Maka kami boleh membuat pemerhatian secara mendalam tentang 'teknologi' yang digunakan oleh pesaing-pesaing kami. Satu demi satu kegagalan telah kami lihat. Ada yang meletup semasa pelancaran malah tidak terlancar langsung! Ada juga yang berjaya tetapi kami berpendapat mereka boleh mencapai sesuatu yang lebih baik. Walau bagaimanapun, perasaan gemuruh kami semakin hebat setiap masa berlalu.

Akhirnya tiba giliran kami.

Yazid, Shahir dan Khairi masuk ke lapangan. Kami yang lain memerhati dari tepi sambil memberikan arahan tertentu bagi memastikan roket kami dapat dilancarkan dengan sempurna. Isipadu air, tekanan udara, arah angin dan segalanya diperhatikan terlebih dahulu. SMK (A) Sultan Muhammad akhirnya bersedia untuk pelancaran bagi kategori Trajectory.


Tapak pelancaran


5, 4, 3, 2, 1... Pop! Roket dilancarkan.

Kami bersorak penuh kegembiraan! Misi kami berjaya dengan gahnya. Roket kami berjaya dilancarkan lebih kurang 98 meter, hampir sahaja mencecah 100 meter dari tapak pelancaran. Para pesaing dan hadirin yang hadir turut memberikan tepukan atas kejayaan kami.

Kami semakin yakin untuk kategori seterusnya!

Musuh ketat kami, SMK(A) Sharifah Rodziah (Sharodz) melancarkan roket mereka selepas kami. Kami tidak bermusuh sebenarnya. Biasalah, sekolah aku semuanya pelajar lelaki manakala mereka pula semuanya perempuan.

Prestasi mereka agak mengagumkan! Mereka hampir sahaja mengaibkan kami. Nampaknya buku telah bertemu dengan ruas. Kami mengambil langkah berhati-hati supaya kami dapat mengekalkan kedudukan kami.

Pertandingan bagi kategori Parachute bermula. Disebabkan prestasi kami dalam kategori Trajectory tadi, kami diberi perhatian oleh para hadirin. Seperti tadi, dalam kategori ini kegagalan yang sama berlaku lagi. Ada pasukan yang dapat melancarkan roket mereka tetapi payung terjunnya tidak terbuka pula dan macam-macam lagi.

Sebaik tiba giliran kami, persiapan diteruskan seperti yang telah dirancang. Perasaan berdebar kali ini lebih parah disebabkan pandangan umum terhadap kami. 5, 4, 3, 2, 1... Pop!


Payung terjun berjaya dibuka


Roket berjaya dilancarkan! Payung terjun kedua (terbesar) terbuka dengan sempurna tetapi payung terjun pertama (terkecil) gagal berkembang seperti yang diharapkan. Walau bagaimanapun, rekod masa kami agak baik iaitu lebih daripada 30 saat di udara.

Selepas segalanya selesai, kami berenam dikelilingi oleh guru-guru dan pelajar-pelajar yang ingin mengetahui mengenai 'teknologi aeroangkasa' kami. Dengan penuh rasa bangga, kami membongkar setiap perkara yang telah dilakukan bagi mendapatkan hasil yang sebaik itu. Secara jujurnya, kami terasa seperti pakar pula ketika itu.

Walau bagaimanapun, kami akhirnya kalah disebabkan perasaan bangga kami sendiri. Setelah puas bercerita tentang 'teknologi' kami, baru kami dimaklumkan bahawa hari itu hanyalah hari percubaan dan hari pertandingan adalah keesokannya!

Rahsia sudah terbongkar, bahan mentah tidak mencukupi untuk menggantikan kerosakan yang dihadapi dan masa tidak mencukupi.

* * * * * * * * * * * * *

Aku tidak boleh berhenti tersenyum sepanjang hari itu. Bukan untuk riya' tetapi budak-budak sekarang tidak segenius kami nampaknya. Mereka gagal sejak awal lagi. Aku sendiri tidak faham bagaimana mereka mengaplikasikan ilmu fizik yang diajar oleh Cikgu Noor Hayati. Sebab itulah mereka gagal.


Perwakilan SMK(A) Sultan Muhammad tahun ini


Kegagalan di zamanku kegagalan bermaruah. Kerana kami, yang lain maju.

Masih terngiang-ngiang kata-kata semangat daripada Cikgu Azuasma : "Kemenangan bukanlah segalanya tetapi apa yang kamu semua buat untuk menang itu yang dikira."

Itu nyata membanggakan kami, sehingga kini hingga bila-bila.

3 thought(s):

min_safi said...

hmm... wat roket terbang.. ssh tu... ngee~ xpnh bjaye wat p0n dr dlu smpai skrg. haha~ nwy, cgratz la cz dpt terbangkn roket ngn jaye nyer! hehe..

A d'Z said...

compliment accepted... tqvm...

min_safi said...

wlcm... hee~ ske3!!!! (uish! cover2...)