BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, September 27, 2009

Aidilfitri yang sangat indah...

5 September 2009
+/- 5.30 am, Stesen Keretapi Tampin

Keretapi Ekspres Wau bagi perjalanan ke KL Sentral tiba juga akhirnya. Aku bersalaman dengan adikku Ilan yang pulang dari Mesir untuk beraya bersama kami tahun ini. Aku duduk di Koc F3, tempat 13A. Ini merupakan pengalamanku yang pertama menaiki keretapi. Aku ingin menunaikan janjiku kepadanya.

Suasana di dalam keretapi tiada beza berbanding dengan bas, cuma aku bebas bergerak ke mana sahaja yang aku mahu di dalamnya. Akibat kebosanan yang teramat sangat, aku pergi ke Koc Kantin untuk menikmati Milo panas. Wah! RM 2 secawan!

Minum pagi di Koc Kantin, Ekspres Wau

+/- 8.15 am, KL Sentral

Kerana berasa sangat lapar, aku segera menuju ke McDonald's. Aku memesan set sarapan Fillet-o-Fish, hashbrown dan secawan Milo ais. Ah... Aku duduk di tempat yang sama sewaktu pertama kali aku dan dia berjumpa di KL dahulu. Hatiku makin tidak sabar untuk bertemunya.

Lebih kurang jam 9.1o am, aku menaiki tren Kajang-Ipoh. Kali ini aku duduk di Koc Y1, tempat 16A. Jiranku adalah seorang gadis Cina yang turut ingin ke Ipoh sepertiku.

Tepat 12.00 pm, Stesen Keretapi Ipoh

Hotel Stesen

Aku telah pun menghubunginya. Aku perlu menunggu ketibaannya dahulu. Tidak lama, cuma 45 minit sahaja. Aku menemui Safi lagi! Setelah kami menaiki Kembaranya itu, kami terus menuju ke Stesen Bas Ipoh untuk aku membeli tiket pulang ke Melaka dan masanya adalah 11 pm. Kami meronda sekitar Ipoh sementara menunggu masa pulang ke rumahnya.

Kami melepaskan rindu dendam yang menyerabutkan itu semahu-mahunya.

+/- 1.30 pm, rumah Safi

Ketibaanku disambut oleh ahli keluarganya dengan ramah walaupun inilah kali pertama aku datang ke rumah mereka sepanjang kami bersama hampir 2 tahun ini. Aku akui aku agak gementar tetapi keramahan mereka membuatkanku berasa sangat selesa di situ.

Hari ini merupakan rumah terbuka bagi ahli keluarga Safi. Maka ramailah saudara-mara yang datang berkunjung ke rumahnya. Aku meringankan tulang untuk membantu 'bakal ahli keluarga'ku sedikit sebanyak dan aku gembira melakukannya.

Perkara yang paling mendebarkan ialah ketika 'disoal siasat' oleh saudara-mara Safi, terutama sekali Mak Longnya! Pelbagai jenis soalan menerjah telingaku dan agak kelam-kabut aku ingin menjawab kesemuanya. Mujurlah kejujuranku membuatkanku berjaya menjawab setiap soalan yang diajukan dengan baik. (ewah!)

Disebalik kesibukan itu, aku dan Safi sempat keluar ke Pekan Tambun untuk menunaikan hajat kami yang telah lama terbuku di hati -- menikmati Cornetto Love bersama-sama!

Hajat tertunai juga akhirnya!

Lebih kurang 6.30 petang, selepas selesai jamak takhir aku berasa sangat mengantuk. Masakan tidak. Semalamnya aku beraya seharian di KL, dari awal pagi ke malam ke rumah saudara-maraku bersama ahli keluargaku. Sudahlah aku memandu. Sememangnya aku letih kerana tidak cukup rehat minggu ini. Akibatnya, aku terlelap di atas sofa di ruang tamu.

Safi segera mengejutkanku. Dia menjemputku masuk ke bilik tidur untuk berehat, seperti kehendak Mami. Mereka sangat-sangat memahami. Aku sangat selesa bersama mereka semua.

+/- 8 pm, tingkat atas rumah Safi

Aku tersedar dari tidurku. Dalam keadaan mamai, aku masih nampak dengan jelas siapa yang mengejutku bangun. Tiada yang lain lagi, Safi!

Aku segera bangun dan duduk di sisi katil, cuba mendapatkan kesedaran sepenuhnya. Aku memanggil Safi rapat ke arahku lalu mengucapkan terima kasih kepadanya. Dia kelihatan sangat gembira. Seketika kemudian, Safi turun ke bawah untuk menyelesaikan kerjanya yang tinggal.

Aku berasa sangat rimas. Aku segera menggapai tuala yang disediakan dan mandi. Ah..!! Tubuhku kembali segar selepas mandi. Aku menukar pakaianku kepada pakaian yang baru. Kali ini lebih kemas daripada siang tadi. Sweater belang kelabu-hitam PADINI, t-shirt SEED berwarna maroon dan seluar hitam PADINI. Setelah selesai dengan jamak takhir, aku turun ke bawah. Mami menjemputku makan lagi!

Mee kari yang dibuat Mami sangat sedap sekali. Petang tadi sahaja sudah 3 kali aku menikmati keenakannya. Malam ini sebelum bertolak pulang, aku makan sepuas-puasnya mee kari Mami! Hehe...

Perut sudah pun kenyang. Masih ada masa untuk aku habiskan bersama Safi. Kami berbual-bual di atas lantai ruang tamu melempiaskan perasaan kasih masing-masing sebelum masa memisahkan kami semula.

Kenangan terindah di Ipoh.

+/- 10.20 pm, Stesen Bas Ipoh

Kami tiba awal supaya aku tidak ketinggalan bas. Ayah, Mami, Ena (adik no.1) dan Amat (adik no. 4) turut hadir bersama. Setelah bersalaman dengan mereka semua, aku ditemani Safi dan Amat menuju ke arah bas. Aku memegang kedua-dua belah tangan Safi, menatap mukanya sepuas-puas hati.

"Abang tunaikan janji abang tak?"

Dia menggangguk.

Saturday, September 19, 2009

Selamat tinggal Ramadhan 1430H...

Sudah hampir genap sebulan aku tidak mengisi apa-apa di dalam ruangan blogku ini. Sememangnya aku telah merancang untuk bercerita tentang aktiviti-aktiviti yang aku lakukan sepanjang Ramadhan tahun ini pada hari ini. Tidak perlu buang masa! Come on now!

1. Bazar Ramadhan di UDM

Alhamdulillah, disebalik krisis ekonomi global yang paling teruk dalam sejarah yang berlaku, Ramadhan tahun memberikan rezeki yang luar biasa kepada kami. Aku bersama rakan senegeriku Faiz (Deg. Dakwah) dengan bantuan saf kepimpinan MPP UDM sesi 2008/2009 menjual ayam bakar seperti mana sewaktu Pesta Konvo dahulu. Dengan suntikan modal RM 200.00 oleh pihak MPP, kami telah berjaya mendapat keuntungan berjumlah lebih RM 1000.00 selama 20 hari perniagaan kami!

Turut serta dalam perniagaan kami adalah mak cik tukang masak di Kedai Mak Nah. Beliau menjual nasi dan lauk-pauk dan pendapatan sampingan kami datang daripada komisyen yang diterima serta jualan air.

Memproses ayam di rumah Mok.

Faiz, aku, Mok dan Angah di gerai.

Tokey ayam in action!

2. Futsal

Disebabkan kami tidak tahan dengan kegatalan yang dialami pada kaki kami sepanjang siang hari Ramadhan tahun ini, maka kami menyepak bola digelanggang hampir 6 kali sepanjang 3 minggu Ramadhan di UDM. Siapa 'kami'? Aku beserta ahli rumahku dan rakan-rakan yang lain.

Alhamdulillah! Dalam 3 perlawanan bersama pasukan yang menjemput serta 3 permainan persahabatan sesama sendiri, aku sempat membuat 3 jaringan yang sangat-sangat bermakna sepanjang hidupku ini. Satu jaringan juggling, satu jaringan dribble dan sepakan first-timer ala Steven Gerrard!

Gambar hiasan.

3. Menonton filem

Jika tiada apa yang mampu kami buat selain daripada tidur pada malam hari (sesudah tidur di siang hari), maka kami akan menonton apa jua filem yang kami boleh tonton. Kami mengambil semua filem daripada pelbagai sumber dan kami menontonnya bersama samada di ruang tamu atau bilik tidurku. Paling menarik sekali, BAADSHAH!

Sewaktu menonton Baadshah.

4. Daun terup

Apa pun jua andaian kamu semua, aku ingin maklumkan bahawa kami bukan berjudi ya! Sekadar mengisi masa lapang disamping mengeratkan silaturrahim sesama kami sebagai teman serumah serta rakan-rakan yang lain. Selepas sahur, selepas berbuka, atau sewaktu menunggu tiba waktu sahur, ini adalah aktiviti biasa kami.

Siapa yang menang?

5. Sahur di KFC, berbuka di Syahbandar

Idea bersahur di KFC dicetuskan secara tiba-tiba oleh Amin, sewaktu kami sedang leka bermain daun terup awal pagi itu. Mulanya hanya aku, Amin, Ewan dan Syahrul sahaja yang ingin ke sana. Entah bagaimana, akhirnya kesemua 8-8 orang terlibat sekali!

Riders bersedia!

Sebaik tiba di KFC Batu Buruk.
Dari kiri: Syahrul, aku, Nabil, Topek, Moslem, Amin & Ewan.

Dari kiri: Zul, Moslem, Ewan & Topek.

Berbuka di gerai no.28 di Dataran Syahbandar merupakan pengalaman kami yang paling mengerikan sepanjang bulan Ramadhan tahun ini. Sudahlah makanannya tidak sedap, mahal pula! Jadi, tiada gambar disediakan sebagai tanda boikot terhadap kedai-kedai makan di Dataran Syahbandar.

6. Kasut LAMPOO

Aku, Syahrul dan Moslem telah mencipta kasut LAMPOO, jenama kami sendiri. Bermodalkan hampir RM100, kami telah berjaya menyiapkan 3 pasang kasut corak khas edisi masing-masing. Jika ada yang berminat, sila khabar!