BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, October 27, 2009

Antara dua darjat...

Terngiang terang di telingaku ayat emak : “Aku boleh tanggung kau.”

Aku sebak. Ya, mungkin mak mampu menanggung kos pengajianku untuk satu semester ini tetapi anak mana yang sanggup melihatkan emaknya yang sudah tidak bersuami bersusah-payah demi anak-anak. Aku terpaksa menipu emak dengan hanya meminta separuh daripada jumlah yuran yang sepatutnya dibayar pada semester ini.

Kenapa? Adikku, Ilan, sedang menuntut di Mesir dalam bidang perubatan tanpa sebarang pinjaman atau tajaan. Khabarnya JPA mungkin tidak akan memberi pinjaman atau menaja adikku ini kerana Along masih belum menghabiskan bayaran pinjamannya sewaktu belajar di England dahulu. Setelah setahun di sana, Ilan meneruskan hidup di perantauan dengan wang yang dikirimkan emak.

Adikku yang bongsu, Ikah, bakal menduduki peperiksaan SPM. Dia sememangnya seorang pelajar yang pintar dan rajin. Setiap kali aku pulang pasti dia memintaku untuk menemaninya membeli pelbagai jenis buku rujukan dan latihan untuk kegunaannya.

Setelah menanti lebih setengah tahun dengan harapan yang tinggi menggunung, akhirnya aku kecewa. Bukan sahaja kecewa malah rasa teraniaya. Satu-satunya harapan yang ada untukku menanggung segala kos pengajianku pada semester ini telah musnah – wang zakat. Ternyata keputusan pihak bertanggungjawab dalam pengagihan wang zakat itu melukakan hati anak yatim ini. Aku mula memikirkan bagaimanakah aku harus memberitahu emak tentang perkara ini.

Aku tidak berpuas hati. Daripada surat yang dikeluarkan, jelas ada lagi baki wang zakat yang tidak diagihkan! Aku cuba menuntut hak ini!

Aku mengadukan hal ini kepada MPP dan syukurlah, mereka bertindak. Sekarang aku perlu menanti peluang kedua tiba – jika tiba.

* * * * * * * * * * * * *

Jamuan Hari Raya Universiti siang tadi agak sederhana tetapi tetap meriah. Cuma hidangan yang dihidangkan tidak sebanyak seperti yang pernah disediakan tahun-tahun sebelum ini. Semalam, pelbagai aktiviti dijalankan dan begitu juga hari ini.

Malam ini aku turun bersama rakan-rakan untuk menyaksikan pelbagai persembahan yang disediakan oleh pihak universiti untuk sekalian warganya. Beberapa persembahan yang dilangsungkan malam ini telah mengejutkan aku sama sekali dan aku tidak menyukainya.

Aku bukan tidak biasa dengan hiburan seperti ini malah aku sudah biasa pergi ke majlis hiburan yang lebih teruk dan lebih ‘panas’ daripada ini. Dahulu di sini aku berhibur dengan hiburan yang lebih lembut dan luar daripada kebiasaanku di rumah, aku sangat selesa. Aku sangat gembira. Tetapi tidak pada malam ini.

Aku bukannya kolot atau jumud tetapi ini bukan yang sepatutnya terjadi di sini. Aku bukanlah seorang yang alim atau warak tetapi aku tetap orang yang mencari ketenangan dan kebenaran.

Entah dari mana datangnya penari-penari yang tidak menutup aurat itu. Aku tidak faham. Kenapa mereka menjemput Adik Wani, penyanyi dikir dangdut yang berpakaian kurang sopan dan bertindak di luar norma kehidupan warga institut ini untuk memberikan persembahan sebegitu? Aku tidak faham. Aku sakit kepala dan segera naik ke bilik.

Persembahan bunya api. Ya, menarik tetapi membuatkan aku berkira-kira tentang kos menganjurkan majlis sebegini. Menurut sebuah sumber rapat, dikhabarkan bahawa kos keseluruhan program 2 hari ini berjumlah RM 15000.

Aku tiba-tiba menjadi tidak percaya. Kos makanan untuk semua warga universiti, bayaran kepada artis-artis jemputan (Adik Wani, Beego dll.) serta kos-kos lain yang dituntut mereka, kos untuk persembahan bunga api, kos pengurusan dan segala macam kos lagi. RM 15000? Aku tidak percaya!

Adik Wani bersama peminat.


* * * * * * * * * * * * *


Aku berfikir tentang kedua-dua situasi ini. Alangkah mudahnya untuk mengeluarkan wang untuk perkara yang sia-sia. Alangkah cepatnya proses untuk melaksanakan sesuatu yang tidak memberi faedah secara menyeluruh. Tetapi, alangkah sukarnya untuk menyelesaikan masalah kebajikan yang dialami oleh warga universiti ini. Alangkah lambatnya proses untuk membantu mana-mana warga universiti ini yang di dalam keperluan yang mendesak.


Aku ingin segera pergi dari sini! Jangan cuba datang ke sini!


2.09 am, 11 Oktober 2009

0 thought(s):