BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, June 24, 2009

Aku malu dengan Melayu!

Aku dan Ejat baru sahaja tiba di warung Kak Shima. Aku agak kebuluran. Aku bangun agak lewat hari ini. Untuk makan tengah hari, aku ingin menikmati kelazatan kuey tiow kerang masakannya.

Belum sempat aku duduk, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang cukup untuk mengejutkan semua orang disepanjang jalan itu. Aku melihat sebuah topi keledar berwarna putih bergolekan di depan mata.

Imaginasi yang ganas dan sadis serta-merta menerpa mindaku yang celaru. Aku berjalan laju ke situ. Sebuah skuter berwarna merah tersadai di tengah jalan. Penunggangnya masih dalam keadaan terkejut. Dia telah dilanggar oleh sebuah Kancil yang ingin keluar daripada persimpangan itu.

Aku mengarahkan pemandu Kancil itu untuk mengalihkan keretanya ke tepi, ada beberapa kereta di belakang menanti. Aku mengalihkan skuter itu manakala Ejat mengalihkan penunggangnya. Gadis pemandu Kancil itu datang semula.

Kedua-dua yang terlibat berbangsa Cina, lelaki dan perempuan. Skuter dan kereta. Lelaki itu memarahi gadis tersebut. Aku memintanya bertenang dan jangan bertindak terlalu mengikut amarahnya. Lelaki Cina itu cuba berlembut dalam marah. Kesakitan akibat luka di lutut kirinya sedikit sebanyak mempengaruhi emosinya.

Aku terdengar dari jauh "Mujur kau tak langgar Melayu!"

Setelah beberapa orang Cina yang berada berhampiran tiba, aku dan Ejat meneruskan misi kami untuk menjamu selera. Sementara menunggu pesanan, aku memasang telinga mendengar perbualan orang sekeliling. Semuanya bercakap tentang kesalahan kedua-dua pihak yang terlibat dalam kemalangan itu. Dan semua yang yang bercakap itu adalah Melayu.

Daripada bercakap tentang kemalangan, mereka bercakap tentang perkauman. Aku tidak selesa dengan keadaan itu. Pada masa yang sama aku berasa geram, kecewa dan malu dengan mereka semua.

Beginikah bangsa Melayu, bangsaku? Kononnya bangsa Melayu adalah bangsa yang memiliki budi pekerti yang mulia tetapi bagi aku tidak! Ya, memang bukan semuanya tetapi kebanyakkannya.

Walaupun mereka lebih hampir di kawasan kemalangan, hanya aku dan Ejat sahaja yang pergi membantu. Mana kamu orang Melayu?

Duduk mengata tanpa membuat apa-apa. Cuma bertindak sekiranya orang yang sespesis dengan kamu yang menjadi mangsa. Itu pun bertindak secara tidak berakal.

Kalau begitu dan disebabkan itu, aku malu dengan Melayu!

0 thought(s):