BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, May 28, 2009

Final Liga Juara-juara Eropah 2008/2009

Mentaliti dan semangat juang jelas membezakan pemenang dengan yang tewas. Ini telah dibuktikan oleh kedua-dua finalis Liga Juara-juara Eropah 2008/2009, Barcelona (Spain) dan Manchester United (England) dalam perlawanan yang baru berakhir sebentar sahaja tadi.


Gol pembukaan oleh Samuel Eto'o (minit 10') akibat kealpaan benteng MU telah mengubah keseluruhan corak permainan MU sehingga ke wisel penamat. Walaupun bermula garang dengan sepakan percuma oleh Cristiano Ronaldo yang nyaris menewaskan penjaga gol Victor Valdes serta beberapa percubaan yang lain, baki masa perlawanan jelas milik Barcelona.

Agak pelik apabila melihat banyak hantaran yang dilakukan oleh pemain MU berjaya dipintas oleh pemain Barcelona, tanpa dirampas sepantas mungkin bola tersebut. Jelas dilihat para pemain MU telah hilang semangat selepas jaring mereka ditembusi dengan satu percubaan sahaja.

Corak permainan Barcelona menunjukkan keyakinan dan semangat juang yang kental. Akibatnya, MU dilihat seperti dipermainkan. Secara peribadi, saya meletakkan keyakinan kepada MU untuk bangkit dan menang 2-1 seperti yang pernah dilakukan mereka pada final 1998/1999 ketika menentang Bayern Munich (Jerman). Walau bagaimanapun, sejarah tidak berulang kali ini.

Saya teringat semula final 2004/2005 yang menyaksikan Liverpool (England) bangkit daripada ketinggalan 3-0 pada separuh masa yang pertama menentang AC Milan (Itali) untuk menyamakan kedudukan kepada 3-3, seterusnya menjulang Piala Eropah itu buat kali ke-5 selepas menang menerusi penentuan sepakan penalti. Mentaliti dan semangat juang pemain Liverpool ketika itu sangat menakjubkan walaupun selepas separuh masa pertama tamat, permainan dianggap tamat oleh kebanyakan orang. Tetapi, mereka bangkit dan menang!

Seandainya mentaliti dan semangat juang pemain MU seperti Liverpool pada ketika itu, final Liga Juara-juara Eropah 2008/2009 pasti menjadi ulangan sejarah final Liga Juara-juara Eropah 1998/1999.

Tahniah Barcelona! Tahniah Pep Guardiola kerana menjadi orang ke-3 yang memenangi Liga Juara-juara Eropah sebagai pemain dan juga pengurus!

The Red Devils, bangkitlah!

0 thought(s):